Pengintip

31 January 2011

Mempelajari dan Memahami

Karya

Sesebuah karya seni tidak dapat lari daripada mengandungi unsur-unsur ‘moral yang diketengahkan. Atau pun dalam erti kata lain isi-isi tersurat mahupun tersirat yang cuba digarap dan dikenali sebagai isi/konten (content) dan amalan-amalan ini menitikberatkan kepada isu yang ingin disampaikan.

Meskipun untuk memahami konten adalah tidak sukar berdasarkan imej-imej yang terpampang, tetapi ‘audience’ yang memiliki ‘ilmu’ bahasa visual adalah mereka yang dalam interpretasinya. Konten dalam sesuatu karya yang ingin disampaikan merupakan amalan modernisma yang berakar umbi hingga sekarang (walaupun Malaysia sedang atau mungkin mengalami; era pasca moden).

2K (konten & konteks)

Mengikut amalan pasca moden; konten mungkin berubah menjadi sesuatu yang sudah ‘basi’ tetapi tidak dilupakan sama sekali. Tahap amalan pasca moden telah berevolusi dari konten ke konteks. Jikalau konten menekankan kepada isi maka konteks pula merujuk kepada situasi persekitaran dan perkembangan mutakhir.

Selalunya golongan pelukis (dalam Malaysia) terperangkap di dalam dua era; moden dan pasca moden. Dan golongan ini terperangkap di tengah-tengah iaitu transisi di antara perubahan dua era.

Transisi perubahan ini menjadikan golongan pengkarya berada di dalam dua dimensi diantara sedar dan tidak; dan di sinilah menampakan ketakutan-ketakuan yang bukannya merujuk kepada emosi tetapi hasil seni itu sendiri.

Ketakutan-ketakutan ini di gambarkan pada hasil karya itu; adakah sehaluan merentas kupasan-kupasan isu semasa? Atau karya itu menjadi karya yang bercirikan ‘skill’ semata-mata? atau mungkin isinya sahaja. Ketakutan inilah merupakan dilema yang melanda kepada si pelaku seni dalam menggarap ideanya.

Ketakutan inilah yang akan membunuh hasil karya dan akhirnya pelukis betul-betul terperangkap dalam dunia seninya sendiri.

Karya yang baik adalah menekankan kepada 2K disamping teori dan konsep yang digarap untuk dihadam oleh penonton. 2K ini ditekankan bertujuan memberi menonjolkan idea yang diutarakan. Jika karya menekankan konsep yang baik harus di teladani; maka secara tidak langsung perbuatan yang baik ini harus diteladani oleh penghayat.

Karya yang cuba menonjolkan etika yang baik adakah hanya merujuk pada bentuknya sahaja ?(form). Perlukah bentuk mewakili sifat pengkarya?. Jika filem memerlukan pelakon; perlukah sifat dan amalan pelakon itu sama dengan karekter yang dibawa? Atau bagaimana?(contoh: filem muallaf oleh Yasmin Ahmad).

Disinilah letaknya peranan 2K dalam menjana karya yang dapat menyatukan antara pelukis dan penghayat.

Money oriented vs 2K

Karya memang dihasilkan untuk ‘disampaikan’. Karya yang dipamerkan pula memang untuk dihayati dan semestinya memang untuk dikongsi bersama. Dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai pasaran yang kecil; mengharapkan sebuah hasil karya yang baik terhasil adalah sukar untuk di perolehi. Maka karya-karya yang terpilih sahaja akan menjadi rebutan.

Pasaran kecil sama sekali tidak menghalang kumpulan-kumpulan tertentu untuk terlibat dalam ‘pasaran bebas’ jual beli karya seni. Kumpulan-kumpulan ini bertindak dalam serampang yang bermata-mata. Untuk memakmurkan seni, untuk menggaburi mata, untuk perniagaan, untuk keuntungan dan lain-lain tujuan.

Walau bagaimana cara sekalipun modus operandi dan tujuan tersembunyi kumpulan-kumpulan ini diharapkan tidak sama sekali menolak ketepi keilmuan bahasa seni visual itu sendiri. Agak dkesali sejak beberapa tahun kebelakangan ini untuk melihat kumpulan-kumpulan ini menggangkat karya yang betul-betul memenuhi kriteria utama dalam seni visual tidak di angkat seimbang dengan karya-karya yang mempunyai citarasa ‘menarik’. Hakikat inilah yang perlu di ambil sebagai pengajaran untuk pembangunan seni visual yang berkualiti mulai sekarang dan akan datang.

26 January 2011

ORANG MUDA DAN KARYA KONTEMPORARI

Orang muda

Pelukis muda dikategorikan berumur di bawah 40 tahun. Itupun mengikut kriteria yang termaktub dalam sesuatu pertandingan. Bakat Muda Sezaman contohnya mendefinisikan pelukis muda berdasarkan angka yang sentiasa berubah-ubah. Setiap pertandingan dengan kategori umur yang berubah-ubah; walaupun tidaklah ketara jarak perbezaannya.

Contoh lain adalah pertandingan anjuran kumpulan seni dari Malaysia yang masih ‘hot’ iaitu Kumpulan Matahati yang menganjurkan pertandingan; digelar MEA (Malaysian Emerging Artist) Awards dengan bersyarat berdasarkan jumlah angka yang telah ditetapkan (sila rujuk untuk maklumat lanjut).

Jumlah kiraan angka hayat seseorang seolah-olah menjadi penanda aras untuk sesuatu perkara mahupun jawatan; cuba lihat jawatan pemuda UMNO. Berapakah umur yang di benarkan untuk merebut jawatan pemuda UMNO?.dan perkara-perkara inilah yang membelenggu jiwa orang-orang “tua.”

Bila disebut pelukis muda adalah mudah untuk kita fahami. Pelukis adalah orang yang menghasilkan karya seni, manakala muda pula adalah berkaitan dengan ‘baru’ (angka, pengalaman, pengetahuan atau apa?). jika umurnya tua tapi ilmunya muda, adakah ini orang muda?. Umumnya muda adalah berdasarkan angka, apabila umurnya muda selalunya ilmunya, pengetahuannya, pengalamannya atau apa sahaja adalah berlawanan dengan sifat-sifat tadi.

Pelukis muda adalah mereka tidak berpengalaman. Orang muda biasanya ghairah, amarah, pemberontak itulah ungkapan yang sangat sinonim dengan orang muda.

Maka tidak hairanlah jika melihat pada situasi semasa sekarang orang mudalah yang sentiasa menggerakkan situasi menjadi sensasi, yang memberanikan diri. Cuba lihat siapakah yang menjadi penggerak utama dalam merayakan demonstrasi, protes dan sebagainya?. Sudah tentulah orang muda!. Apakah tiada otai-otai (sensitive disebut orang tua) dalam merayakan jiwa muda?, ada tetapi tidak begitu ‘memberahikan’.

Orang muda adalah orang berani tidak seperti orang tua. Orang muda adalah seorang yang melawan arus tidak seperti orang tua yang kononya matang (poraahhh). Orang muda adalah mereka yang suci, tidak mempolitikan keadaan, tidak mempergunakan dan digunakan orang dengan sewenang-wenangnya dan orang muda jugalah messenger dalam membentuk masyarakat menjadi ‘suci.

Karya Seni

Orang muda dalam konteks berkarya adalah mereka-mereka yang sentiasa menjiwai suasana semasa. Seorang yang kontemporari. Pandangan-pandangan mereka adalah dari perspektif yang berbeza. Melihat, memahami, mengupas dan keluar dari kotak.

Ini bermakna karya-karya mereka adalah berjiwa kontemporari yang tidak menampakkan ketakutan mereka dalam mengupas isu-isu sensitif, politik atau apa sahaja. Disitulah letaknya kekuatan dan semangat pelukis-pelukis muda dan seterusnya menghasilkan karya-karya yang mempunyai perspektif yang berbeza dari golongan-golongan tua ini.

Idea-idea luahan mereka berdasarkan kepada semangat yang membara, memberontak, melawan arus dan sezaman. Atas dasar inilah golongan pelukis muda sangat-sangat dialu-alukan dalam kemunculannya di arena seni Malaysia khususnya.

Dan golongan ini telah membentuk dan menjadi penanda aras dan juga jawapan yang menandakan kebangkitan ataupun mungkin petanda kepada merundumnya seni lukis di Malaysia.

Balai Seni

‘Balai’ adalah ungkapan yang sinonim dengan polis. Apabila disebut balai maka apa yang difahami mungkinnya “..apa salah saya?, ataupun “saya tidak membuat apa-apa kesalahan”. Balai mungkin boleh di metaforakan sebagai ‘penjara’ hasil-hasil karya yang dihasilkan

Jika Balai Seni di iktiraf sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mempromosikan hasil seni Malaysia maka fungsi Balai Seni semestinya seiring dengan tugas anggota-anggota didalamnya.

Anggota ini pula diibaratkan sebagai ‘polis ; mata-mata’ dalam mencari hasil-hasil karya dari pelukis samada pelukis muda atau ‘tua’. Dan sememangnya pula tugas-tugas ini perlu dilakukan sebaik mungkin dengan tidak mendikriminasi golonggan pelukis-pelukis muda yang rebel.

Acapkali kita melihat pelukis-pelukis muda kerap berkarya berkenaan isu-isu yang menarik perhatian. Sebagai contohnya isu-isu sosial, politik, kebudayaan dan ini semua menjurus kepada citarasa, pandangan, persepsi dan perspektif pemikiran-pemikiran pelukis-pelukis muda kontemporari sekarang. Orang-orang muda ini tidak mahu dipandang sebagai golongan ‘mat rempit’ tetapi ‘merempit’ dalam memberikan pandangan dan ini menunjukan satu tanggungjawab dalam membentuk Negara melalui kritikan sosial yang cuba mereka visualkan.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutamanya balai seni dalam memberikan ruang dan peluang kepada mereka dalam menyatakan persepsi mereka terhadap apa yang berlaku dipersekitaran. Jangan lah pula agenda politik menjadi penghalang kepada ketaksuban golongan pelukis-pelukis muda ini sehinggakan keterujaan mereka tidak dapat di diluahkan melalui platform seni yang telah di sediakan.

Pelukis-pelukis muda tidaklah boleh sama sekali dianggap sebagai duri dalam daging. Sesungguhnya pembentukkan seni Malaysia kehadapan adalah berpaksikan kepada kekuatan pelukis-pelukis muda sekarang. Proses kitaran; yang muda akan menjadi tua tidaklah dapat dinafikan. Sesungguhnya yang muda sekarang pastinya akan ‘tua’ di kemudiannya tetapi yang tua masih boleh muda jika pandangan dan pemikiran mereka bergerak seiring zaman, begitu juga yang muda tidak semestinya muda jika masih berfikir didalam kotak. Maka yang pastinya, orang muda mahupun tua hanyalah satu perspektif yang dangkal dan menjadi tugas kita untuk memilih diantara menjadi muda atau tua kerana angka atau sebaliknya. Apa jawapan anda? Tepuk dada tanyalah minda…