Pengintip

16 August 2011

Pembesar Suara vs Pengecil Suara


loud_speaker-large.jpg
Kemelut bacaan Al-quran sebelum subuh telah menjadi polemik di kalangan masyarakat. Pandangan sesetengah 'ahli agama' menyatakan bacaan sebelum subuh subuh adalah tidak perlu. Tapi pada sesetengah masyarakat yang 'lain' pula berpandangan sebaliknya. Saya tidak ingin menngupas isu ini secara khusus, kerana sudah pastinya isu ini bermotifkan politik di kedua- belah pihak.

Pada saya, isu ini boleh diselesaikan melalui jalan tengah. Memang secara logiknya, pembesar suara ini mengganggu ketenteraman masyarakat yang berada di sekitar masjid. Pokok persoalannya:

1. Siapa masyarakat disekitarnya. Adakah masyarakat ini terdiri daripada masyarakat bukan Islam?
2. Kedudukan geografinya. Di mana terletaknya masjid?

Isu ini rasanya boleh diselesaikan secara kreatif, berdasarkan kepada konteks tempat dan keadaan. Jika masyarakat disekelilingnya adalah terdiri daripada masyarakat bukan Islam, rasanya adalah tidak sesuai untuk mengalunkan ayat-ayat suci sebelum subuh. Tetapi agak berlainan jika masyarakat disekitarnya adalah majoritinya beragama Islam. Itu pun dengan cara mendapat kesepakatan majoriti masyarakat, untuk menggunakan pembesar suara atau tidak. Mungkin masyarakat Islam di kawasan-kawasan desa tidak bermasalah untuk 'membuka telinga' mendengar bacaan al-quran sebelum subuh (andaian sahaja).

Mendengar bacaan al-quran adalah perkara yang baik. Tetapi jika pendengar mendengar al-quran sambil sambil bersembang-sembang, tidak fokus pada bacaan al-quran, atau bergelak ketawa, sudah tentulah lebih baik tidak diperdengarkan bacaan al-quran. malah ditakuti akan berdosa pula. Ditambahi pula, memperdengarkan bacaan al-quran di awal pagi (masih tidur/siapa yang mendengarnya?).

Alasan mendengarkan bacaan al-quran adalah untuk mengejut bangun solat subuh pula; tidak boleh dijadikan alasan kerana azan sendiri telah berfungsi sebagai panggilan ilahi. Isu penggunaan pembesar suara ini, seharusnya dapat ditanggani secara kreatif. Menjaga isu-isu yang sensitif agama, budaya, bangsa adalah satu perkara yang perlu di ambil berat. Maka dengan sebab itu penyelesaian masalah berteraskan kaedah kreativiti adalah perlu dilakukan.