Pengintip

22 December 2008

Merentasi Halangan Kebijaksanaan Dalam Dunia Semasa

Kebijaksanaan?

Adakah kebijaksanaan seseorang artis itu dapat diukur dengan kayu pengukur atau tidak terukur, bahawa keputusan akhiran selepas mempamerkan karya seni adalah dapat dijual?, kebijaksanaan ini merangkumi bagaimana ‘mengambil’ dan ‘mengusik’ emosi pemerhati, sehingga menyentuh perasaan yang akan mengakibatkan lukisan itu dijual, kerana kebijaksanaan ini dibuktikan melalui perkembangan semasa yang menyebabkan kita berada didalam dunia pasaran terbuka iaitu dalam bidang-bidang komersial.

Dengan dunia yang berkehendakan material mengatasi nilai-nilai agama, moral dan budaya atau apa sahaja, atau nilai-nilai kehidupan ini telah dicerobohi oleh pemikiran yang menggambarkan individu yang terbaik adalah yang mengikut arus, tetapi dalam konteks ini kebijaksanaan ini diterjemahkan dalam bentuk membeli kepercayaan, mempengaruhi emosi, membuat silap mata, dan akan mengakibatkan penghayat tertarik, menarik dan de booom dengan karya kita...

Bagaimana pula pengkarya yang dikatakan tidak bijak, kerana tidak mengadakan nilai-nilai komersial dalam hasil seni mereka, perlukah ditambah kicap, sos untuk menyedapkan rasa atau rasa itu dibuat-buat untuk menyelerakan? Atau apa?...jadilah seperti kontaraktor bumiputra kelas F...

Tidak bijaksanakah mereka yang satu sen pun tidak masuk poket, bahkan terpaksa menanggung hutang pula.!

Didalangi pula dengan dasar ekonomi baru, kuota bumiputra, dan keluarlah kata-kata seperti, karya seni pun ada kuota?...

Hakikat?

Jika dilihat, seni Malaysia memang tidak dapat dibandingkan dengan sejarah seni negara-negara seperti Indonesia, Thailand mahupun Singapura. Jika melihat dalam bentuk masa malaysia bukanlah baru dalam perkembangan seni semasa kerana Singapura rasanya adalah lagi 'muda', tetapi jika dibandingkan dengan kualiti karya memang tidak dapat dinafikan, Singapura adalah antara yang terbaik.

Program-program seperti Singapore Biennale dan sebagainya yang menjadikan mereka adalah antara yang terbaik. Bagaimana pula dengan Malaysia?, dimana Malaysia Biennale?..sudah bersediakah Malaysia untuk melangkah ke hadapan, dan tidak lagi terkebelakang 10 tahun dengan perkembangan seni dinegara lain.

Kembali menaungi aliran modenisma?

Pernyataan kebijaksanaan jika dirungkai dengan pandangan sekeliling akan membuka seribu lagi pandangan negatif.

Aneh dan ajaib sekali, jika penerimaan pasaran lukisan dalam Malaysia masih menjadi dominasi golongan-golongan tertentu yang mencari keindahan di mata bertuhankan emosi semata-mata.

Dunia mencapai masa millenium, jika diimbas pada tahun 80-an, berapa banyak galeri yang ada di Malaysia? Dan berapa banyak pula artis yang ada?..balik-balik mula dia ajer...muka hang lagi...la hang lagi...dan lagi, dan lagi...

Bukankah itu akan menjumudkan lagi pandangan seni yang dibawa melalui bentuk-bentuk visual?

Setelah melalui masa-masa berikut hinggalah era 21 atau abad Cemerlang, Gemilang dan Terbilang. Tetapi apa yang cemerlang?, gemilang apa? dan terbilang apa?.

Hakikatnya seni masih ditakuk yang lama, walaupun di era kepimpinan Mahathir Mohamad, perkembangan ekonomi berada pada tahap 7%. Tetapi kita masih berada dilandasan keselesaan yang maha besar, kerana pasaran seni dikuasai oleh mereka-mereka yang sangat mementingkan poket berisi dengan duit yang tebal!, disinilah peranan yang dimainkan oleh galeri-galeri 'owner' yang mempunyai agenda-agenda tersembunyi.

Dan di galeri ini penuh dengan lukisan-lukisan yang tidak memenatkan otak tetapi menyebabkan otak menjadi gila, kerana pancaran-pancaran pelbagai warna menyebabkan mata, hati dan akal menjadi kelu untuk berkata-kata. Penyakit inilah yang sangat ditakuti, menvirus golongan seni yang berpenyakit Abstract-expresstionisme


27 November 2008

MENUJU JALAN “MATI” 2, DIARI KEHIDUPAN ARTIS DENGAN TIGA PERSOALAN?

Kemana arah tuju seseorang artis itu, jikalau hajat dan matlamatnya telah terlaksana seumpama mengadakan pameran solo mahupun berkumpulan ditempat-tempat tertentu? Adakah penamatnya hanya berkesudahan disitu?(soalan pertama).

Semua ini harus dipersoal, bukan hanya pada artis itu sendiri tetapi pada pandangan umum, supaya tidak menjumudkan lagi pandangan yang telah distrukturkan.

Jika, artis itu terlalu taksub untuk menghasilkan karya yang akan berkesudahan di bilik-bilik pameran, kita dapati keghairahan mereka ini terlalu teruja, seolah-olah seperti sedang hangat "bercinta" dengan simpton-simptonnya, makan tidak lalu dan tidur tidak lena.....

Tetapi, jika penamat bagi penghasilan karya itu bukan lah ditempat seperti di galeri-galeri atau sebagainya, bagaimana pula dengan keghairahan yang akan wujud?(soalan kedua).

Adakah seperti penyakit "mati pucuk" yang memerlukan ubat kuat atau pil Viagra, kerana kepalsuan dan kepura-puraan itu pasti wujud dalam visual yang terhasilnya nanti. Ditambahi pula dengan lipstik yang tercalik di mulut, hinggakan memaniskan kata-kata si pemakai.

Yang pastinya kepuasan yang wujud mungkin memberi kepuasan yang tidak terhingga jika karya seni dibeli satu atau dua?.

Dan sekian sahaja perjalanan hidup (diari artis) menuju alam yang fana tanpa membawa apa-apa kebaikan dalam memberikan satu perspektif berbeza pada pandangan masyarakat yang lama.

Bagaimana pula dengan pandangan dan hakikat tentang kepentingan seni merentasi sempadan visual tanpa di batasi, diselindungi atau diperalatkan oleh ’seseorang’/Art Collector / masyarakat / komuniti?? Atau seumpamanya dan lain-lain (soalan ketiga).

23 November 2008

MENUJU JALAN “MATI”

Teringat ketika zaman belajar dahulu, memikirkan adakah seni itu (dalam konteks seni visual) sudah menuju jalan mati iaitu ketika peringkat terciptanya karya akhir. Kadang-kadang bermain dalam fikiran, apabila sesebuah karya itu di pamerkan (pameran/show) adakah itu merupakan proses yang terakhir?. Kemana haluan selepas itu?.

Kalau Malaysia, ketika zaman Tun Mahathir, dengan Wawasan 2020, selepas itu kemana? Adakah tahun 2020 itu penamatnya. Manusia akan menuju proses kematian, adakah itu penamatnya juga?.

Bolehkah kalau kita katakan, kita ada permulaan dan tiada pengakhiran?. Berbeza dengan zat tuhan. (tiada permulaan dan pengakhiran / tidak jadi dan dijadikan).

Proses pembelajaran bukan sahaja melibatkan pada persoalan pemahaman, tetapi turut melibatkan pengalaman, pencarian dan pembelajaran. Kerana proses itu sentiasa berlaku walau pun tamat belajar (formal). Kalau Tuhan dan Rasul pun mengatakan mencari ilmu itu hendaklah hingga ke liang lahad dan ke negara China, bagaimana pula kita (informal)?.

Seni itu satu pengertian yang ada pada setiap individu. Kerana setiap orang mempunyai jawapan yang tersendiri. Kalau ditanya pada kanak-kanak, mungkin jawapannya seni itu mewarna!. Kalau ditanya pula pada pengetua sekolah menengah (apa jenis sekolah pun) mungkin jawapan agak berbeza (dah tua dengan pengalaman/sebenarnya tidak faham pun) iaitu melukis dan mengambar objek-objek. Bagaimana pula kalau diajukan pada orang atasan (berpangkat)? Juga jawapannya agak menarik (mungkin), iaitu seni itu mahal harganya!!!

Bagaimana pula dengan makcik-makcik dikampung?.. belajar seni? Apa boleh buat dengan lukisan?,boleh ke hidup?...(apa yang mampu kita buat hanyalah ketawa dan senyum sinis hehehehehe...)

Persoalan ini merupakan satu pengertian yang besar dan terlalu subjektif. Bukan sahaja melibatkan emosi tetapi kefahaman seni secara total.

Yang pasti jawapannya ialah, seni itu adalah apa yang kita mahukan, kerana seni itu terlalu halus untuk dinilai walaupun menggunakan mikroskop...




26 October 2008

NILAI-NILAI (ETIKA) DIRI ARTIS KITA

Nilai diri merupakan antara elemen yang penting apabila sesebuah karya seni itu dibicarakan. Samada karya itu bersifat 2 dimensi, 3 dimensi atau 4 dimensi (atau lain-lain dimensi, jika ada).

Nilai diri antara faktor yang mempengaruhi sesebuah karya seni itu terlaksana. Jika melihat dalam sudut pandangan yang lebih luas nilai diri adalah sesuatu yang sangat bermakna dan jika diselidiki secara halus, amalan ini tidak berapa jelas diamalkan dalam konteks seni Malaysia secara amnya (andaian).

Bila membincangkan mengenai topik nilai ini, kita tidak dapat memisahkan dengan persoalan etika. Merujuk kepada Falsafah Etika, Ahmad Sunawari Long (2006:144) dalam Sejarah Falsafah, mengistilahkan etika adalah sebahagian daripada falsafah yang menumpukan kepada tingkah laku terutamanya dalam konteks hubungan manusia- samada peribadi, sosial atau politik-yang mana akan dinilai dalam bentuk baik atau buruk.

Secara ringkasnya persoalan dan definisi etika adalah sangat berkait rapat dengan nilai-nilai diri, dalam menentukan keberkesanan dari seawal proses, sehinggalah kepada peringkat terakhir dalam penghasilan karya seni (dalam konteks yang khusus).

Akan tetapi nilai-nilai yang dibincangkan ini bukanlah menjurus kedalam diri semata-mata tetapi faktor luaran juga memainkan peranan yang sangat penting, kerana environment 'luar' yang mendorong kepada pembentukan nilai dalam diri kita.

Nilai-nilai ini jika disoroti berkait rapat dengan budaya, cara hidup, pegangan dan praktisnya dalam menghasilkan karya seni yang bermutu sifatnya. Melihat kepada keadaan suasana masyarakat sekarang sebagai contoh, menerapkan displin secara lahiriah amat dititkberatkan berbanding dengan menerapkan nilai dalam diri (spiritual) anak kerana nilai diri tidak dapat dipelajari dari pengalaman yang bersifat secondary, tertier atau apa sahaja cabang pengetahuan melainkan melalui pengalaman secara langsung.

Pisau mempunyai sifat seperti tajam sukar dijelaskan maksudnya kepada si anak kecil hanya jika pengalaman sebenar ini dijadikan sempadan dan pedoman kepada mereka. Tetapi pengalaman sebenar atau sensasi (pengalaman pancaindera) akan menjelaskan maksud bahawa pisau itu tajam!.(sekadar analogi).

Perkaitan ini di simbolkan dengan amalan praktis dikalangan artis-artis malaysia kita, sebagai contoh jika karya yang berharga puluhan ribu dibeli, adakah pengkarya itu benar-benar bertanggungjawab tentang penggunaan material yang digunakan. Jika pembeli melihat dalam jangka masa yang panjang agar karya itu dapat bertahan bukan sekadar menjadi hiasan tetapi rujukan masa depan, dengan jangka masa seratus tahun dapatkah karya itu bertahan?.

Persoalan ini hanya mempersoalkan tentang nilai atau etika pelukis dari segi penggunaan bahan dalam karya seni. Kita belum lagi melihat dalam konteks yang lebih luas melibatkan tanggungjawab pelukis dengan nilai moral seperti tanggungjawab dalam memberikan satu imej yang bermakna pada segala jenis bentuk estetik yang ada.


Seni yang bukan bersandarkan kepada kecantikan semata-mata tetapi dalam bentuk yang lebih luas iaitu konten dan konteks. Persoalan ini sepatutnya lebih diberikan penumpuan sepenuhnya dan harus diterap dalam diri setiap pelukis (sekadar contoh) dan nilai ini merupakan elemen yang terpenting dalam perlaksanaan karya yang lebih bermutu.

Mengulas lebih lanjut, Ahmad Sunawari Long (2006), menulis:

skop etika adalah lebih luas berbanding dengan moral yang hanya memfokuskan kepada tingkah laku individu. Ia berkaitan dengan berbagai-bagai bidang kehidupan seperti estetika, etika profesional, perbuatan atau tingkah laku dan logik tidak sekadar dalam bidang sains sosial. Ini menjelaskan etika mempunyai peranan yang besar didalam setiap bidang kehidupan manusia bagi menyediakan prinsip tanggungjawab dan menilai tindakan serta perjalanan institusi yang berkaitan dengan kemanusiaan. Etika berperanan dalam menentukan sifat, kedudukan dan kesan bidang tersebut terhadap masyarakat dan individu. Begitu juga dengan bidang yang melibatkan kesenian, pemikiran, kebudayaan dan sebagainya. Sebagai contoh dalam konteks estetika, tumpuan diberikan kepada pemaparan kecantikkan dan kehalusan seni yang dipaparkan (seperti sebuah lukisan) atau keindahan bahasa sebuah novel. Sebaliknya bagi sudut pandangan etika, disamping menerima persepsi yang dibawa oleh estetika, ia cuba memberi nilaian moral samada karya seni mempunyai unsur-unsur negatif atau positif kepada individu atau masyarakat.

Nilai-nilai ini akan lebih bermakna jika digabungkan antara nilai diri secara lahiriah dan spiritual, dalam memberikan keberkesanan karya seni yang bermutu.

Wallahualam..

12 October 2008

DILEMA PELUKIS MUDA :BAHAGIAN 2 (EKSPERIMENTASI)

Pelajar institusi seni mungkin menghabiskan masa selama 3 atau 4 tahun untuk melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan dalam bidang seni, atau mungkin lebih dari tempoh yang telah ditetapkan. Tetapi dalam masa yang ditetapkan itu, adakah para pelajar betul-betul memahami dan menguasai ilmu seni yang dipelajari itu.

Bermula dengan proses pembelajaran "visual language" atau elements of art dan principles of design sehinggalah kepada teori-teori konten pemberi maksud kepada sesuatu design, produk atau konteks yang diingini.

Pelajar-pelajar telah diajar dengan langkah-langkah yang betul dalam menghasilkan karya seni yang bermutu bukan sahaja pada bentuk visual tetapi kepada maksud yang ingin disampaikan. Menghabiskan masa bertahun-tahun dan menghasilkan tugasan yang diberikan dengan sebaik mungkin serta dikritik dan dipantau oleh pensyarah untuk memantapkan idea dan bentuk visual merupakan proses yang dilalui supaya karya seni yang dihasilkan itu berkualiti sekaligus memberi impak kepada suasana luar dari institusi seni.

Apakah kriteria yang diguna pakai untuk memberi penilaian kepada karya yang dihasilkan oleh pelajar?. Adakah hanya sesi kritikan menjadi dasar utama dalam merubah atau memberi pandangan dalam ertikata lain penambahbaikkan untuk menghasilkan karya seni yang bermutu?.

Selepas graduasi, pelajar yang ingin melibatkan diri dalam bidang seni secara professional mungkin terbawa-bawa pandangan, idea dan ilmu yang telah dipelajari dulu. Dari penggunaan material, pandangan, idea, dan juga isme (aliran) "tok guru".

Bereksperimentasi dan cuba melangkaui pandangan, idea dan pengaruh menjadi bebanan dan konkongan yang sangat padu untuk ditembusi seolah-olah sudah menjadi sebati dalam diri. Rantaian yang begitu kukuh ini menjadikan bekas pelajar ini terikut-ikut dan terpedaya (dalam erti kata sebenarnya) dengan sogokan yang diterima selama ini.

Contoh yang sangat mudah, susah untuk kita lari dari kebiasaan dalam melukis. Undang-undang yang diguna pakai dan dijadikan panduan semasa belajar banyak merantai fikiran dan tindakan kita. Jika kita berjaya lari dari kebiasaan dan cuba bereksperimentasi dengan media disekeliling, mungkin inilah dinamakan anjakan paradigma yang dituntut dalam era pasca moden (new media). Tetapi bukannya melanggar hukum-hukum asas dalam seni dan jangan sesekali merubah hukumyang tersedia ada sebelum ini.

Insyaalah....

23 September 2008

DILEMA PELUKIS MUDA

Dare to fail ungkapan yang sangat sesuai untuk digunakan bagi segelintir pelukis-pelukis muda Malaysia yang baru berjinak dalam persekitaran seni semasa. Ungkapan yang sangat popular ini mungkin menjadi perangsang kepada keberkesanan dalam menghasilkan karya seni yang bermutu bukan pada visualnya sahaja.

Mungkin menjadi satu persoalan yang merebak besar bagi segolongan mereka yang memahami ungkapan keramat ini kerana berani gagal dipersepsikan sebagai berani melawan, mencuba sesuatu baru atau pun memberi nilai baru kepada perkara lama.

Pastinya apa yang perlu diberanikan dalam mencuba sesuatu baru?, apatah lagi menyentuh persoalan kreativiti dalam menghasilkan karya seni yang bermutu?.

Jawapan bagi persoalan ini mungkin bermaksud kepada situasi semasa dan teori pemahaman dan praktikal dalam proses pembelajaran secara langsung (universiti) atau tidak (pengalaman).

Proses menghasilkan karya seni bermula dari penjanaan idea seterusnya proses penghasilan dan akhir sekali adalah kepada produk seni yang unggul tanpa diiringi kepalsuan konten sesebuah karya seni itu.

Peringkat penjanaan idea ini pula terbahagi kepada beberapa faktor seperti pembacaan, pengalaman, pemikiran dan minat (sekadar contoh sahaja).

Peringkat teori dalam menghasilkan produk seni mungkin tidak menjadi permasalahan yang besar kerana pada waktu ini idea dijana dalam bentuk 1 dimensi. Tetapi yang menjadi masalah apabila idea ini hendak diterjemahkan dalam bentuk 2, 3 atau 4 dimensi.

Mungkin bagi sesetengah senior artis tidak menjadi masalah kerana masalah ini dapat dikawal dan ditunjukki jalan yang benar kerana pengalaman yang luas sebelum ini (mengikut kepada kekerapan melakukan pameran berkumpulan atau solo) telah dapat dirasai pada peringkat permulaan berkarya.

Pepatah seperti "aku makan garam dulu" boleh diguna pakai dalam menjelaskan teori ”berani gagal”.

Ungkapan anjakan paradigma mungkin juga sesuai digunakan dan dijadikan amalan berkarya kita semua, atau untuk artis-artis muda ini menggunakan kudrat kekuatan fizikal mahupun mental untuk melawan arus seterusnya menghasilkan sesuatu yang bukan sahaja baik dari segi mutu tetapi dalam penguasaan visual language yang baik.

Mentor atau pengaruh rujukan mahupun istilah ’tok guru’ semasa belajar adalah perkara pokok yang membelenggu dan agak sukar untuk keluar dari kepompong kongkongan melainkan dengan nawaitu dan istiqamah yang kuat sahaja yang akan berjaya. Kadang-kadang dilema ini mengambil masa yang agak lama dan mungkin menjadi halangan seumur hidup kecuali di brain wash.

Dilema ini sebenarnya merupakan dilema yang bukan sahaja pada ’artis’ muda sahaja tetapi persoalannya apakah pengaruh ini sengaja ditiupkan atau tempias yang terkena pada orang yang terpengaruh?...

Mungkin secara terperinci dilema ini meliputi peringkat seperti penjanaan idea, pemahaman dan kawalan dalam menghasilkan karya seni yang baik dari segi kebijaksanaan pelukis memahami bahasa visual untuk merungkai persoalan idea demi idea seterusnya dapat disampaikan melalui kanvas atau sebagainya.

Kata-kata seperti ”...biarlah art works yang berkata-kata daripada kita berkata” mungkin berguna dan mendalam maksudnya.

Pengaruh adalah elemen pertama dan faktor yang lain adalah kerana mata dan hati pelukis muda telah dikelabui dan gelap mata hasil dari jualan karya yang kadang-kadang mencecah puluhan ribu ringgit.

Perspektif pandangan karya yang bagus pada mereka ini adalah karya yang berjaya dijual, kerana teori mengatakan produk yang bagus adalah yang boleh dikomersialkan seterusnya dapat menjana kewangan dan pendapatan seterusnya melahirkan kepuasan sebagai pelukis itu sendiri.

Janganlah menjadi seseorang yang telah ditipu oleh permainan masa dan penuh strategi si pembeli. Sepatutnya golongan ini harus bertanya adakah karya aku ini mempunyai nilai-nilai seni yang menyebabkan karya aku boleh dibeli? atau mungkinkah karya aku ini hanya cantik dipandang dan diletakkan didinding sahaja?, atau sebaliknya.

Pengaruh bukanlah sesuayu yang bermaksud negatif, tetapi macam mana pengaruh negatif ini dapat ditransmutasi dalam bentuk positif dengan mengambil kira kandungan-kandungan pengaruh yang berguna untuk pembelajaran secara tidak langsung kerana contoh yang baik boleh dijadikan panduan dan tauladan. Yang baik diambil dan yang buruk ditolak.

Mungkin secara kasarnya boleh dikatakan dilema pelukis muda ini diantara berani gagal dengan konflik peribadi merupakan petanda yang biasa dan memang akan dilalui oleh semua insan yang bergelar artis kerana pelukis-pelukis terkenal juga pernah terpengaruh oleh unsur-unsur yang disebutkan tadi seterusnya kerana kematangan, dan proses yang berulang kali menghasilkan karya telah menjadikan mereka sangat berpengalaman dan akhirnya berjaya keluar dari konkongan pengaruh secara sedar atau tidak dan momentum seperti inilah amat diperlukan dan menjadi rujukan kepada golongan muda untuk menjadi orang yang telah berjaya melakukan anjakan paradigma menuju dimensi globalisasi semasa.

10 September 2008

Identiti, Originality dan Kiamat



”Identiti” setiap orang ada identiti sendiri. Adakah karya seni juga mempunyai identiti?. ”Non-identification is identity”. Kalau Mastura Abd Rahman dengan rumah melayunya juga Jailani Abu Hassan dengan brush stoke dan layers nya apakah itu diklasifikasikan dengan identiti?.

Pasca moden juga mempunyai proses peniruan (imitation process) atau mungkin kita sebut sebagai proses yang berulang-ulang kali berlaku. Kalau agama Hindu mempercayai proses recarnation, adakah proses-proses semasa ini boleh disamakan dengan pengulangan yang sentiasa berlaku tanpa adanya awal dan akhirnya. (Allah tiada permulaan dan akhiran)

Mudah sekali jawapannya iaitu tiada originality sesuatu karya itu. Apakah brush stroke itu hak milik (identiti) bagi pelukis tersebut?.

Tiada identiti, tiada originality. Dengan’Chaos theory’ yang sedang melanda zaman baru seni Malaysia?. Modernisme yang masih berlaku, sebenarnya tidak dapat dipisahkan dengan persoalan keaslian sesuatu karya.

Jika melihat kepada senior-senior artis Malaysia yang melalui era modernis boleh dikatakan golongan seni ini sebagai satu golongan artisan yang mempunyai hiraki tersendiri, kerana art works yang dihasilkan oleh mereka perlu dijalankan di suatu tempat yang kita panggil galeri, dan menjemput seseorang yang berpengaruh atau terkenal untuk merasmikan pameran (sebenarnya sedikit sebanyak mengandungi agenda-agenda tertentu). Bukankan ini boleh disamakan golongan elit yang wujud di zaman masyarakat feudal eropah?.

Menuju arah Pasca Moden, golongan-golongan baru atau kaum-kaum muda yang digelar ict generation pula terlalu taksub dengan teknologi-teknologi seiring masa. Kepakaran menggunakan teknologi ini selalu dikaitkan dengan penolakkan unsur-unsur tradisi bagi golongan muda ini, era industri yang wujud telah memberi pandangan seperti ”drawing is dead”.

Pada golongan traditionalist pula jangan memandang teknologi yang wujud akan menggugat kreativiti dalam menghasilkan karya seni.

Penerimaan dan penolakkan bagi kedua-dua generasi ini hendaklah dalam keadaan yang rasional. Penambahbaikan ini merupakan anugerah yang berguna bukan sahaja pada golongan senior tetapi mesti dimanfaatkan oleh generasi baru. Manakala ’teknologi lama’ jangan sekali-kali dikikis.

Manusia sekarang penuh dengan nafsu yang gelojoh hinggakan dunia menjadi huru-hara merangkumi politik, budaya, agama dan sosial.

Akhirnya manusia telah lupa akan tanggungjawab kepada tuhan yang esa hinggakan sibuk dengan duniawi. Pasca moden sangat menghuru-harakan......

Salah satu tanda-tanda yang menunjukkan bahawa dunia akan kiamat adalah perjalanan masa akan menjadi pantas. Maka tidak hairanlah dunia yang kita hidup sekarang berlaku sangat pantas sekali. Pasca moden adalah tanda alamat bahawa bukan sahaja dunia akan kiamat tapi dunia seni kita pun akan mencapai di penghujung kretiviti. Dan benarlah seperti yang dikatakan oleh Stephen Hawking dalam teori Big Bang.

Wallahua’lam....

27 August 2008

mengamati seni

Barangkali menjadi sesuatu yang agak sukar bagi sesetengah individu untuk mendalami apa yang tersirat atau tersurat dalam sesuatu karya seni, apatah lagi mungkin terdidik dalam persekitaran seni. Apakah mungkin kita dapat memahami apa itu seni hanya dengan melihat karya seni itu?.

Benarkah karya-karya seni itu terdidik dalam mengutarakan pandangan individu perkarya, dalam era kontemporari mengejar dunia yang ‘berstatus’ Pasca Modenisma.

Dengan kemajuan dalam bidang teknologi, adunan yang kadang-kadang bersifat rojak, mengharu birukan dunia, ditambahi dengan kapitalis yang besar mengalahkan yang kecil, sapa kuat dia menang!!!

Benarkah apa yang dikatakan oleh Darwin: “perjuangan untuk hidup!! ”

Berbalik kepada pengamatan seni…mungkinkah ada satu cara untuk pengunjung memahami apa pemikiran yang terselindung dalam sesebuah karya yang di pamerkan..? karya seni yang bagus mungkin adalah yang tidak terlalu literal tetapi dapat difahami melalui gambaran visual?... atau mungkin karya itu memerlukan bantuan sokongan untuk difahami?, karya bukan saja harus di fahami melalui pandangan mata, tetapi disertai jiwa dan minda. Pengalaman yang banyak, idea, pemikiran mungkin membantu untuk menyelami sesuatu karya…..

Jika seni itu sesuatu yang subjektif, apakah mungkin seni juga dapat di interpretasi dengan objektif? Emosi yang buruk menterjemahkan karya yang buruk, yang baik menampakkan karya yang baik, …

Unsur-unsur manifesto, politik agenda, dan sebagainya mungkin dapat di dalami dalam sesebuah karya, dan semuanya berdasarkan pengalaman individu masing-masing, serta pembacaan yang meluas….(itupun jika ada)

Kerusi, jika dilihat oleh tukang kebun mungkin cantik buatannya, tetapi ahli politik melihatnya sebagai ‘kuasa’… apakah 1 tambah satu menjadi 2 atau sebelas?……persoalan yang kadang-kadang sangat jelas memperlihatkan keupayaan kebijaksanaan kita dalam menilai sesuatu perkara.

Bolehkah seni di strukturkan atau di objektifkan? Jawapan mungkin ye atau tidak? manusia di anugerahkan oleh tuhan di wakili oleh dua hemisfera otak. Kanan dan kiri (HOKA dan HOKI) untuk mencapai kuasa otak yang optimum, keduanya haruslah di seimbangkan, dan eksploitasi untuk sebaik mungkin.

Kadangkala sesuatu yang agak sukar difahami menjadi kelebihan bagi mereka yang mengalaminya, dan sesungguhnya,Tuhan sukakan keindahan!!..jadi keindahan itu bergantung kepada persepsi individu yang melihatnya.

Mungkin.....

25 August 2008

Untitle ;safety zone/seni Malaysia

Bila diimbas, kelahiran artis-artis muda di malaysia yang kononnya menggelarkan diri mereka mengikut arus perdana kemodenan tamadun dan perubahan sosial terkini malah juga dalam penghasilan karya seni yang menjurus kearah kontemporari terkini, yang terkadang-kadang bila melihat percikkan keberanian dalam diri mereka serta keangkuhan mereka dalam mendengar pendapat orang lain seolah-olah seperti bodoh sombong.

Banyak sekali tumbuhnya kumpulan-kumpulan seni yang berorientasi manifesto-manifesto tertentu dan adakah dengan kelahiran kumpulan-kumpulan ini dapat memberikan sesuatu input yang berguna kepada dunia seni Malaysia?

Seni Malaysia yang bersifat selamat ini tidak hanya memberikan pandangan yang sangat negatif kepada golongan muda tetapi, artis-artis senior juga adalah pemangkin kepada keegoan artis muda dan keberanian mereka yang dilatih oleh ‘guru’ mereka supaya berani menempuh dunia seni.

Sudah sedia maklum, bahawa dalam keadaan tertentu keghairahan artis-artis muda dalam visi dan wawasan mereka untuk menempatkan diri dalam kelompok seni Malaysia yang kecil jika dibandingkan dengan negara Asia tenggara yang lain boleh di ibaratkan bagai katak dibawah tumpurung kerana mereka hanya berada dan berasa selamat dikelompok mereka dan di bawah ‘ketiak guru’, tanpa mengetahui hal-hal diluar tempurung.(Safety zone)

Berada dalam komuniti seni yang tertutup, dikalangan rakan-rakan mahupun pensyarah, dengan hanya berbekalkan kebolehan yang tinggi tanpa adunan isi-isi dalam penghasilan art work di tambah dengan pujian guru sudah untuk menjadikan golongan artis kita ini berbangga dengan hidupnya sebagai artis muda yang berjaya.

Merasa sangat selamat beserta sokongan lisan mahupun duit, berbangga dengan sejarah yang semakin pudar. Bila dipikirkan sejenak, pertandingan BMS pada tahun 1997 dimana waktu itu Zabas menjadi ketua hakim, memberikan kepada semua peserta hadiah minor?. Kenapa, kerana pengaruh guru jelas dalam karya yang di luahkan.

Bila melihat kepada tumbuhnya kumpulan seni yang baru, yang kadang-kadang agak ‘pelik’ bunyinya merupakan petanda kepada sumbangan mereka pada dunia seni. Tetapi mencukupikah hanya wujudnya kumpulan seni ini dijadikan bench mark seni Malaysia yang pesat berkembang?. Malangnya sikap ikut dan terikut ini menjadikan sesetengah daripada mereka seolah-olah diperalatkan oleh agenda atau manifesto kumpulan masing-masimg.

Kepada ‘senior-senior’ artis pula, janganlah selalu menjadi bangga kepada pencapaian yang kadang-kadang ‘gah’ bukan bersifat mutlak. Untuk menjadi contoh terbaik, role model kepada artis muda, bukan dengan cara menurunkan ‘ilmu’ yang sensitif kepada idea, tema, bahan, atau apa sahaja yang konon tidak matang, seolah tidak peka terhadap perkembangan seni dunia.

Kepekaan golongan artis muda menghasilkan karya seni yang ‘pelik’ atau terpengaruh dengan kepelikkan artis luar Malaysia juga merupakan satu amalan yang biasa. Pengaruh-pengaruh indon dalam karya sangat jelas, dibuktikan lagi golongan muda yang terpengaruh secara sedar atau tidak, jika dilihat pada perkembangan semasa sekarang, bagaimana budaya, selera masyarakat Malaysia yang sangat meminati muzik-muzik dari negara seberang, malah banyak sekali tayangan drama ditayangkan. Bukan pada lagu tapi, industri hiburan ditambahi pula dengan tenaga kerja untuk ekonomi Malaysia, kegiatan sosial, percampuran budaya Malaysia dan Indon jelas terpampang, sehinggakan Malaysia yang bersifat ke Indonnan jelas mempengaruhi masyarakat Malaysia. Sehinggakan pembantu rumah dan isteri pun indon !!.

Tidak pernah cuba menjadikan identiti Malaysia sebenar dan sejujurnya, dengan berbekalkan pengalaman dari lawatan ke negara seberang menjadikan artis muda kita begitu taksub. Adakah sebelum ini mereka tidak pernah di dedahkan dengan suasana seni negara serantau? Atau hanya menjadi katak di bawah tumpurung? Yang menganga mulut dan di suap oleh persekitaran seni yang terhad.

Kadang-kadang bila dilihat kembali bagaimana individu yang lama menceburi bidang masih terpengaruh dengan ideologi lama dan tidak pernah cuba untuk ‘update’ ilmu, dengan kehadiran golongan artis baru inilah diharap dapat memberi satu paradigma yang baru dengan cuba lari dari konkongan artis ‘senior’, dan hanya beberapa peratus sahaja yang berjaya melakukannya.

Dominasi golongan elit cuba mempengaruhi persekitaran seni sekali gus satu cabaran kepada artis muda untuk cuba menyaingi artis senior dengan perubahan yang kadang-kadang melampaui batas agama, budaya dan cara hidup. Adakah ini yang mungkin didingini kita?.

Wallau’alam…….