Pengintip

26 January 2011

ORANG MUDA DAN KARYA KONTEMPORARI

Orang muda

Pelukis muda dikategorikan berumur di bawah 40 tahun. Itupun mengikut kriteria yang termaktub dalam sesuatu pertandingan. Bakat Muda Sezaman contohnya mendefinisikan pelukis muda berdasarkan angka yang sentiasa berubah-ubah. Setiap pertandingan dengan kategori umur yang berubah-ubah; walaupun tidaklah ketara jarak perbezaannya.

Contoh lain adalah pertandingan anjuran kumpulan seni dari Malaysia yang masih ‘hot’ iaitu Kumpulan Matahati yang menganjurkan pertandingan; digelar MEA (Malaysian Emerging Artist) Awards dengan bersyarat berdasarkan jumlah angka yang telah ditetapkan (sila rujuk untuk maklumat lanjut).

Jumlah kiraan angka hayat seseorang seolah-olah menjadi penanda aras untuk sesuatu perkara mahupun jawatan; cuba lihat jawatan pemuda UMNO. Berapakah umur yang di benarkan untuk merebut jawatan pemuda UMNO?.dan perkara-perkara inilah yang membelenggu jiwa orang-orang “tua.”

Bila disebut pelukis muda adalah mudah untuk kita fahami. Pelukis adalah orang yang menghasilkan karya seni, manakala muda pula adalah berkaitan dengan ‘baru’ (angka, pengalaman, pengetahuan atau apa?). jika umurnya tua tapi ilmunya muda, adakah ini orang muda?. Umumnya muda adalah berdasarkan angka, apabila umurnya muda selalunya ilmunya, pengetahuannya, pengalamannya atau apa sahaja adalah berlawanan dengan sifat-sifat tadi.

Pelukis muda adalah mereka tidak berpengalaman. Orang muda biasanya ghairah, amarah, pemberontak itulah ungkapan yang sangat sinonim dengan orang muda.

Maka tidak hairanlah jika melihat pada situasi semasa sekarang orang mudalah yang sentiasa menggerakkan situasi menjadi sensasi, yang memberanikan diri. Cuba lihat siapakah yang menjadi penggerak utama dalam merayakan demonstrasi, protes dan sebagainya?. Sudah tentulah orang muda!. Apakah tiada otai-otai (sensitive disebut orang tua) dalam merayakan jiwa muda?, ada tetapi tidak begitu ‘memberahikan’.

Orang muda adalah orang berani tidak seperti orang tua. Orang muda adalah seorang yang melawan arus tidak seperti orang tua yang kononya matang (poraahhh). Orang muda adalah mereka yang suci, tidak mempolitikan keadaan, tidak mempergunakan dan digunakan orang dengan sewenang-wenangnya dan orang muda jugalah messenger dalam membentuk masyarakat menjadi ‘suci.

Karya Seni

Orang muda dalam konteks berkarya adalah mereka-mereka yang sentiasa menjiwai suasana semasa. Seorang yang kontemporari. Pandangan-pandangan mereka adalah dari perspektif yang berbeza. Melihat, memahami, mengupas dan keluar dari kotak.

Ini bermakna karya-karya mereka adalah berjiwa kontemporari yang tidak menampakkan ketakutan mereka dalam mengupas isu-isu sensitif, politik atau apa sahaja. Disitulah letaknya kekuatan dan semangat pelukis-pelukis muda dan seterusnya menghasilkan karya-karya yang mempunyai perspektif yang berbeza dari golongan-golongan tua ini.

Idea-idea luahan mereka berdasarkan kepada semangat yang membara, memberontak, melawan arus dan sezaman. Atas dasar inilah golongan pelukis muda sangat-sangat dialu-alukan dalam kemunculannya di arena seni Malaysia khususnya.

Dan golongan ini telah membentuk dan menjadi penanda aras dan juga jawapan yang menandakan kebangkitan ataupun mungkin petanda kepada merundumnya seni lukis di Malaysia.

Balai Seni

‘Balai’ adalah ungkapan yang sinonim dengan polis. Apabila disebut balai maka apa yang difahami mungkinnya “..apa salah saya?, ataupun “saya tidak membuat apa-apa kesalahan”. Balai mungkin boleh di metaforakan sebagai ‘penjara’ hasil-hasil karya yang dihasilkan

Jika Balai Seni di iktiraf sebagai sebuah badan yang bertanggungjawab untuk mempromosikan hasil seni Malaysia maka fungsi Balai Seni semestinya seiring dengan tugas anggota-anggota didalamnya.

Anggota ini pula diibaratkan sebagai ‘polis ; mata-mata’ dalam mencari hasil-hasil karya dari pelukis samada pelukis muda atau ‘tua’. Dan sememangnya pula tugas-tugas ini perlu dilakukan sebaik mungkin dengan tidak mendikriminasi golonggan pelukis-pelukis muda yang rebel.

Acapkali kita melihat pelukis-pelukis muda kerap berkarya berkenaan isu-isu yang menarik perhatian. Sebagai contohnya isu-isu sosial, politik, kebudayaan dan ini semua menjurus kepada citarasa, pandangan, persepsi dan perspektif pemikiran-pemikiran pelukis-pelukis muda kontemporari sekarang. Orang-orang muda ini tidak mahu dipandang sebagai golongan ‘mat rempit’ tetapi ‘merempit’ dalam memberikan pandangan dan ini menunjukan satu tanggungjawab dalam membentuk Negara melalui kritikan sosial yang cuba mereka visualkan.

Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak terutamanya balai seni dalam memberikan ruang dan peluang kepada mereka dalam menyatakan persepsi mereka terhadap apa yang berlaku dipersekitaran. Jangan lah pula agenda politik menjadi penghalang kepada ketaksuban golongan pelukis-pelukis muda ini sehinggakan keterujaan mereka tidak dapat di diluahkan melalui platform seni yang telah di sediakan.

Pelukis-pelukis muda tidaklah boleh sama sekali dianggap sebagai duri dalam daging. Sesungguhnya pembentukkan seni Malaysia kehadapan adalah berpaksikan kepada kekuatan pelukis-pelukis muda sekarang. Proses kitaran; yang muda akan menjadi tua tidaklah dapat dinafikan. Sesungguhnya yang muda sekarang pastinya akan ‘tua’ di kemudiannya tetapi yang tua masih boleh muda jika pandangan dan pemikiran mereka bergerak seiring zaman, begitu juga yang muda tidak semestinya muda jika masih berfikir didalam kotak. Maka yang pastinya, orang muda mahupun tua hanyalah satu perspektif yang dangkal dan menjadi tugas kita untuk memilih diantara menjadi muda atau tua kerana angka atau sebaliknya. Apa jawapan anda? Tepuk dada tanyalah minda…

No comments: